1. Produk apakah ini?
    Pelan ini diperkenalkan secara ekslusif untuk pelanggan-pelanggan Bank Pertanian Malaysia (Agrobank) yang menyediakan perlindungan kewangan terhadap kemalangan pada bila-bila masa dan di mana sahaja di seluruh dunia.
    Sijil Takaful ini menyediakan pampasan sekiranya berlakunya kecederaan, hilang upaya atau kematian yang disebabkan semata-mata oleh keganasan, keadaan tidak sengaja dan faktor luaran yang ketara.
    Musibah ini mestilah disebabkan oleh KEMALANGAN, tertakluk kepada pengecualian yang dinyatakan.
  2. Apakah konsep Syariah yang diguna pakai?
    Tabarru’ bermaksud derma bagi tujuan perpaduan dan kerjasama di kalangan Peserta-peserta Takaful dan akan digunakan untuk membantu Peserta Takaful yang ditimpa musibah. Di dalam konteks pihak Syarikat, Tabarru’ akan diperuntukkan ke dalam Dana Risiko.
    Wakalah merujuk kepada kontrak di mana satu pihak, sebagai prinsipal (muwakkil) membenarkan pihak lain sebagai ejen (wakil) untuk melaksanakan tugas tertentu dalam hal-hal yang boleh diwakilkan, dengan atau tanpa mengenakan bayaran. Di dalam konteks pihak Syarikat, kami dilantik sebagai ejen (wakil) untuk melaksanakan Perniagaan Takaful, dan fi Wakalah (Ujrah) akan dibayar kepada pihak Syarikat.
    Nota: “pihak Syarikat” merujuk kepada Takaful Ikhlas General Berhad
  3. Apakah terma-terma dan syarat-syarat utama yang perlu diketahui?
    Had umur
    • 15 hari sehingga 75 tahun (hari jadi akan datang)
    Kepentingan Pendedahan
    • Anda mestilah menyatakan semua fakta penting seperti pekerjaan anda dan perihal peribadi yang boleh mempengaruhi penerimaan perlindungan, dan bilangan sijil serta jumlah Takaful Kemalangan Diri yang telah anda sertai dari mana-mana pengendali Takaful / insurans.
    Memorandum
    • Sekiranya Orang yang Dilindungi mempunyai lebih dari satu (1) Sijil Kemalangan Diri yang dikeluarkan oleh pihak Syarikat (sama ada berkelompok atau individu), Orang yang Dilindungi tidak berhak untuk menuntut manfaat tambahan memandangkan pampasan hanya dibayar untuk setiap satu (1) Kemalangan. Walau bagaimanapun, bayaran untuk manfaat kematian tidak menghalang pembayaran di bawah peruntukan Endorsmen ini. Peruntukan ini adalah tertakluk kepada terma-terma, pengecualian dan syarat-syarat di dalam Sijil Takaful ini.
    Waranti Sumbangan Takaful
    • Ia adalah penting dan menjadi syarat khas Sijil Takaful ini bahawa Sumbangan Takaful yang perlu dibayar mestilah dibayar dan diterima oleh pengendali Takaful dalam tempoh enam puluh (60) hari dari tarikh permulaan Sijil Takaful ini atau endorsmen / pembaharuan Sijil Takaful.
    • Bilamana Sumbangan Takaful yang dibayar lanjutan dari waranti ini, diterima oleh wakil Syarikat yang diberi kuasa, bayaran tersebut akan dikira telah diterima oleh pihak Syarikat. Tanggungjawab bagi membuktikan Sumbangan Takaful perlu dibayar telah diterima oleh seseorang, termasuk ejen Takaful yang tidak diberi kuasa untuk menerima Sumbangan Takaful, terletak pada pengendali Takaful.
    • Waranti ini tertakluk kepada terma dan syarat yang terkandung di dalam Sijil Takaful ini.
  4. Apakah pengecualian-pengecualian utama yang terdapat di dalam Sijil Takaful ini?
    Sijil Takaful ini tidak memperuntukkan perlindungan ke atas kematian atau kecederaan yang disebabkan oleh:
    • Peperangan, serangan, perbuatan musuh asing, permusuhan (sama ada peperangan diisytiharkan atau tidak), peperangan sivil, pemberontakan, revolusi, pemberontakan atau rampasan kuasa, mogok, rusuhan, kekecohan awam, kebangkitan tentera atau kebangkitan popular di mana Orang Yang Dilindungi secara langsung atau tidak langsung mengambil bahagian atau terlibat walau apa jua dalam
    aktiviti-aktiviti tersebut;
    • Penglibatan di dalam aktiviti keganasan;
    • Gila, bunuh diri (sama ada siuman atau tidak siuman) atau apa-apa percubaan ke arah itu oleh Orang Yang Dilindungil;
    • Kecacatan atau kelemahan fizikal atau mental sedia wujud Orang Yang Dilindungi; Jangkitan bakteria atau virus, sebarang penyakit, rawatan perubatan atau pembedahan (kecuali sebagaimana yang perlu semata-mata akibat kecederaan yang dilindungi oleh Sijil Takaful ini dan dilaksanakan dalam masa yang tertera di dalam Sijil Takaful) kepada Orang Yang Dilindungi;
    • Bersalin, keguguran, kehamilan atau apa-apa komplikasi yang berkaitannya kepada Orang Yang Dilindungi;
    • Perbuatan asakan atau serangan yang dimulakan oleh Orang Yang Dilindungi yang menyebabkan dirinya terbunuh;
    • Sebarang perlakuan yang melanggar Undang-undang Sivil atau Syariah dan prinsip-prinsipnya oleh Orang Yang Dilindungi;
    • Hilang keupayaan kekal yang sedia ada atau kecederaan tubuh badan Orang Yang Dilindungi;
    • Penyalahgunaan bahan, alkohol dan/ atau dadah oleh Orang Yang Dilindungi;
    Nota: Senarai ini bukan senarai yang lengkap. Sila rujuk Sijil Takaful untuk senarai penuh bagi pengecualian di bawah Sijil Takaful ini.
  5. Bolehkah saya membatalkan Sijil Takaful ini?
    Anda boleh membatalkan Sijil Takaful ini dengan menyerahkan notis bertulis kepada kami. Bagaimanapun, tiada pembayaran balik Sumbangan Takaful pro rata bagi tempoh Sijil Takaful yang belum luput.
  6. Apakah yang perlu dilakukan sekiranya terdapat perubahan kepada maklumat untuk dihubungi?
    Adalah penting bagi anda untuk memaklumkan kepada kami tentang sebarang perubahan mengenai maklumat anda bagi memastikan semua surat-menyurat dapat disampaikan kepada anda tepat pada masanya.